Terpulanglah! Itulah jawapan saya kalau ada yang bertanya. Saya dah kahwin hampir 31 tahun. Dua puluh sembilan Julai ni, genaplah 31 tahun saya berkahwin. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Tuhan mengizinkan kekuatan kepada saya untuk mengharungi segala pahit panis berumah tangga. Saya tak nafikan sekalipun lebih banyak manisnya, kadang-kadang rumah tangga tetap bergelora. Itulah masanya kita terpaksa pastikan kapal tidak terbalik dan terus karam.
Apa yang penting dalam perkahwinan? Bagi saya, antara perkara yang kita harus beri perhatian ialah 'kepercayaan'. Kita mesti percaya pada pasangan kita. Kalau kita tak percaya, memang susah. Kita juga mesti tahu hidup berkongsi. Sebagai perempuan, jangan suka meminta-minta. Biasanya kalau kita tak meminta, orang akan bagi dengan hati yang ikhlas. Itu lebih baik daripada meminta yang bukan-bukan dan sekiranya kita dapat pun, mungkin dengan cara yang tak ikhlas.
Sebagai isteri, kita harus selalu menyokong kepada cita-cita suami. Dalam begitu, kita juga merupakan pemberi nasihatnya. Kalau ada perkara yang kita rasakan akan merugikan suami kita, nasihatlah... tapi dengan cara yang baik.
Apa pun, kita mesti kenal suami kita itu. Tahu apa yang dia suka dan apa yang dia benci. Kalau suami kita bukan jenis yang cerewet (makan minumnya), mudahlah kita mengurus, kalau cerewet, pandai-pandailah kita 'adjust' kan. Yang penting, bawalah berbincang. Jangan biarkan orang luar mengaturkan rumah tangga kita.
Kalau suami buat hal, jangan cepat sangat kita melatah. Cari sebabnya dan cuba memperbaiki keadaan. Kita mesti ingat yang suami kita itu adalah sekadar manusia biasa yang tak mungkin lari daripada membuat kesilapan. Begitu juga dengan diri kita.
Dalam semua hal, orang perempuan mesti pandai bersabar. Kalau perkara kecil, jangan pula kita besar-besarkan. Kalau perkara besar pula... carilah jalan untuk mengatasinya. Berdoa pada Tuhan... insya-Allah, akan ada jalannya.
Wallahu'alam.
